Sabtu, 2007 Disember 29

Aku Sihir Kau


aku sihir kau!
kerna kau milikku
kusedut nafasmu dari jauh
hingga kau lemas terkapai-kapai
meronta-ronta longlai
kebingungan tertanya-tanya
dari mana datangnya
nafsu sebegitu kuat
hingga imanmu bergoncang ligat

aku sihir kau!
kerna aku milikmu
segala yang cair dalam tubuhku
darah, peluh, urin, semen, saliva
telah kusimpan dalam balang-balang kaca
buat melumuri dirimu kelak
mandian terakhir penyegar ghairah

aku sihir kau!
kerna kau milikku
datanglah kepadaku malam ini
bersama malaikat bersayap belati
syaitan berjubah putih sudah menanti
semuanya menjadi saksi
bagi satu korban pesta berahi

aku sihir kau!
kerna aku milikmu
bersedialah kau di atas altar sejuk
sedang kuasah pisau-pisau tumpul
akan nanti kusiat dagingmu
menjadi potongan-potongan kecil
untuk kujamah sebagai simbolik persetubuhan

aku sihir kau!
kerna kau milikku
lihat! langit mulai runtuh
bumi pun bergegaran
meraikan terbebasnya
dendam lama tertahan
dapatkah kau hidu asap neraka?
dosa-dosa sedang membakar nyawa
untuk mengakhiri kisah cinta celaka
kita yang tidak sepatutnya tercipta!

9 Mac 2007
Sentul

Nota: 
1. Sajak ini mendapat inspirasi daripada lagu blues klasik 'I Put A Spell On You' oleh Screamin' Jay Hawkins. Lagu yang sama juga telah dirakamkan semula dengan hebatnya oleh Nina Simone dan Diamanda Galas. 
2. Versi pertama telah dibaca dalam sesi open mic Wayang Kata III di No Black Tie pada tarikh yang sama

0 ulasan: