Sabtu, 2007 Disember 29

Bicara Seorang Non-Konformis Tentang Mesej Seorang Perempuan Bermoral

EVOLUSI


semalam aku

dapat mesej

panas dari

seorang perempuan.


ceritanya, dia

sedih dengan

cara hidup

aku sekarang.


dia kata

sudah lama

kenal aku tapi


dia perasan

aku telah 

pun berubah.


[dia nampak

aku minum

wain. jadi

ini sudah

tentu

berkaitan masalah

keruntuhan moral

aku. kononnya]


KONFRONTASI


mula-mula sekali

ingin aku

katakan


sebenarnya selama

ini dia

cuma mengenali

aku setakat

di permukaan dan


banyak lagi

dalam diri

aku yang tidak

kelihatan. apa

kubuat tanpa

kehadirannya juga

sudah tentu

dia tidak

tahu-menahu. memang


tiada pula aku

menyembunyikan apa-apa

ataupun berlagak bagaikan

malaikat di depannya.

[jadi,

aku syaitan?]


cuma apa

yang dia tidak

nampak dia

belum tahu. semudah

itu.


aku pula tidaklah

perlu untuk terus

melaung-laung depannya

mengumumkan apa

yang dia belum

tahu pasal diri

aku.


aku

juga bukan

hipokrit untuk

menafikan yang

benar.


dan aku

memang ada

melalui beberapa 

perubahan, mungkin

dapat mengejutkan 

sesetengah orang 

yang mengenali 

aku. tapi


sebenarnya tiada

siapa pun 

selama ini 

tahu tentang 

diri aku sedalam-

dalamnya


EMANSIPASI


pada si 

perempuan itu

aku cuma

ingin mengatakan

dia telah

menyerangku bersenjatakan

sistem moral

yang pada

pendapatnya telah

aku derhakai.


tapi aku

tidak lagi 

berpegang kepada 

sistem itu. 

malah aku 


tidak perlu 

berperisaikan apa-apa 

kerana tiada pula

memerangi sesiapa.


[pertentangan nilai-nilai

antara aku 

dengannya telah

merumitkan situasi]


masalah cuma

wujud jika

ada pihak

berlagak lebih

suci, tidak

menghormati kepelbagaian

serta tertutup

pemikiran.


kini aku

seorang non-konformis.

tapi masih berada

dalam sistem 

tersebut, mungkin 

kerana terpaksa 

dan ada 

sebab-sebab

tertentu, cuma 

aku tidak 

mematuhi kesemua

kandungannya.


mungkin nanti

aku akan digelar

seorang devian, 

zaman sekarang 

memang penuh 

pelabelan. tapi 

aku tidak 

membahayakan sesiapa 

pun. jadi 

mengapa perlu 

ada yang

menggelabah?


si moralis perempuan

perlu menghormati

keputusan aku

untuk menjadi 

sebagaimana aku 

ingin jadi

asalkan tidak

memudaratkan orang

lain. dia 

harus tahu 

aku tidak

boleh dan

tidak ingin 

jadi seperti

apa yang 

dia mahukan 

(stereotaip dalam 

masyarakat majoriti). 

aku memilih 

untuk berbeza. 

lagipun aku 


telah dilahirkan 

sebegini. percayalah,

menyusahkan juga

sebenarnya menjadi

‘orang lain’. 


hanya cuma

kebelakangan ini 

saja aku 

mula hampir

100% berasa 

selesa dengan 

keadaan sebegini

setelah melalui

pelbagai fasa

kehidupan yang

banyak memberi 

pengajaran dan 

pengharapan.


REALITI


masalah besar

dunia sekarang: 

ada penghuninya 

yang berdegil

mengatakan mereka 

saja betul 

dan cara 

mereka saja

perlu diikuti. 

sesiapa yang 

berbeza adalah

salah serta 

perlu dihukum. 

[bukankah ini 


teras kepada

ekstremisme membawa

kepada kejahatan 

amat dasyat 

kepada kemanusiaan?]


prinsip-prinsip kemanusiaan

perlu diutamakan 

dahulu dalam 

hubungan sesama 

manusia, lebih

daripada aspek 

agama, bangsa, 

politik mahupun

ekonomi. jika 

seseorang mula 

bertegas menggunakan

label tertentu 

sebagai sesuatu 

maha ideal 

bagi semua

orang dan 

untuk semua 

keadaan, ini

tentu mengundang

bahaya, apatah 

lagi jika kepebagaian 

tidak dihormati 

malahan jauh

sekali daripada

diraikan.


JUBILASI


sekarang aku

cuma ingin

cuba jadi 

seorang manusia 

yang baik. 

perempuan berpakaian 

moral itu 

tetap aku 

anggap sebagai

kawan walaupun

mungkin dia 

memandangku

dengan jijiknya.


apa yang

penting, aku

perlu sentiasa

bertenang dan

jangan mudah

melenting. aku


akan terus 

meraikan perbezaan 

dan kepelbagaian. 


oh ya, 

mungkin sudah 

sampai masanya 

juga untuk 

aku buka 

botol cabernet 

savignon lama 

kusimpan itu. 

jadi, satu 

gelas untuk 


kamu?


[kita minum

untuk manusia

dan kemanusiaan!


dan juga 

untuk kawanku 

si perempuan 

bermoral]


1 ulasan:

fadz berkata...

oh my god... ada roh sial, ada roh..! aku suka gaya kau begini!