Semasa majlis makan malam di sebuah hotel pada hari itu, Si Perempuan J agak gelisah. Ada suatu misteri yang mengganggu fikirannya.
Dia berbisik padaku. “Kau rasa dia orang pakai tak dalam tu?”
Sudah tentu perkara yang sama juga bermain-main nakal dalam fikiranku meskipun jika dia tidak bertanya sedemikian. Ah, bukan aku saja tentunya. Orang lain pun mesti ingin tahu juga. Yang membezakan cumalah setakat mana imaginasi mereka akan pergi. Imaginasi aku pastinya telah pun terbang jauh bagai batu dilastik tinggi ke langit menuju ke arah burung-burung...errr, ya, burung-burung!
Tidak ramai yang pakai kilt malam itu. Aku perasan cuma dua orang saja. Salah seorangnya ialah Si Lelaki M dari pejabatku yang datang dengan isterinya, sedondon dan sepadan dengan tartan berwarna saffron. Si Lelaki G dari jabatan yang lain, juga memakai kilt bercorak sama, adalah seorang lagi scottish yang menjadi tumpuan itu. Sebenarnya dia yang lagi popular pada malam tersebut kerana terpilih sebagai salah seorang finalis kategori Pakaian Terbaik. Siap menari mengikut lagu I’m Too Sexy ketika berada depan pentas. Scottish yang seorang ini memang cool.
Sebaik majlis tamat, satu jam sesudah tengah malam, aku ke ruangan sebelah ballroom yang telah dijadikan bar. Malam masih muda di dalam bilik itu dan stok draught beer masih banyak. Semasa berbual-bual bersama beberapa orang rakan sepejabat yang masih belum balik, Si Perempuan J sekali lagi menanyakan soalan yang sama.
“Mungkin pakai, mungkin tidak. Macam lelaki melayu pakai kain sarunglah. Kalau aku, memang tak pakai apa-apa dekat dalam.” Itulah jawapan yang aku beri sambil memandang ke arah kedua-dua pemakai kilt yang kebetulan berada di dalam bilik yang sama.
Aku tahu dia belum puas hati. Aku dapat merasakan juga ada sesuatu yang menarik mungkin akan berlaku sebentar lagi. Sebab dia pun sudah mula mabuk sangat. Siap cakap yang bukan-bukan dengan Si Lelaki S, seorang lagi scottish dari pejabat yang sama yang juga telah lama mabuk. Dalam majlis tadi, mereka berdua ada menari bersama. Sesuatu yang agak tidak terduga kerana tidak pernah nampak personalitinya yang meriah sebegitu di pejabat selama ini. Tapi dia tidak pula memakai pakaian kebangsaannya. Mungkin sebab dia pendek dan kilt akan membuatkannya nampak lucu.
Selepas beberapa ketika, apa yang aku jangkakan memang akhirnya berlaku. Tapi tidaklah dalam aksi sedemikian yang aku bayangkan. Mungkin akibat penangan terlalu banyak gelas wain yang diikuti dengan beberapa lagi gelas beer bagi seseorang yang sebenarnya cumalah social drinker amatur, hasilnya amat hebat. Si Perempuan J secara tiba-tiba telah meluru ke depan kedua-dua pemakai kilt. Dia merendahkan tubuhnya dan dengan selamba memasukkan tangannya ke dalam kilt si scottish. Sudah tentu tepat ke arah sasaran. Kedua-dua mereka telah sama menerima ‘khidmat’ Si Perempuan J tanpa diminta. Tidak pula aku tahu sama ada ‘khidmat’ itu memuaskan atau tidak. Atau ‘khidmat’ itu mendatangkan sebarang reaksi pada sasaran.
“Kau bau ini. Kau rasa ini bau siapa?” Sambil mendekatkan tangannya ke hidung aku dan dua orang perempuan lain, dia menyuruh kami meneka.
Tapi sialnya dia membisikkan jawapan kepada misteri dalam kilt hanya kepada perempuan-perempuan itu. Sambil bergelak ketawa tentunya.
Sehingga kini aku pula yang masih diselubungi misteri tersebut. Aku tidak berani untuk menanyakan jawapannya kepada Si Perempuan J kerana selepas kembali semula ke pejabat pada keesokan harinya, dia nampaknya hanya menundukkan kepala atau memandang ke arah lain tatkala bertembung. Macam buat tidak ada benda yang telah berlaku. Sebenarnya aku seperti hendak tergelak pun ada. Mungkin dia malu. Tapi aku tetap saja mahu menjerit ke arahnya.
“Dia orang pakai atau tak?”
Jika begitu mungkin saja perlu aku bertanyakan terus pada si scottish kalau hendak tahu sangat jawapan kepada misteri itu. Sudah tentu sambil kami meneguk beberapa gelas beer. Cuma aku harap ketika itu aku tidak akan mabuk, dan dia tidak memakai kilt!

2 ulasan:
Hi Azwan!
ohh my god....
you are an ass u know.. aku tak tahu pun terbit satu laman yang sehebat ni dan kawan baik kau sendiri pun kaudiam kan aje?? celaka! keparat! hahaha! aku tahu ni dari naganaga, boleh?
btw, citer kau mmg gila, kalah aku!
Catat Ulasan